November 14, 2026

Sangkar burung merbuk

6 / 100 SEO Score

Kebanyakkan sangkar burung merbuk untuk pertandingan seni suara burung dibuat di Thailand, Malaysia dan Indonesia. Sangkar burung merbuk ini biasanya dilarik dan berukir buatan tangan pada beberapa komponen. Ia dibuat kemas dan teliti oleh tukang sangkar merbuk dari wilayah Selatan Thailand (Pattani) yang terkenal dalam pembuatan sangkar burung merbuk yang halus seni pembuatannya sejak berdekad lampau dan mendapat sentuhan pengaruh seni ukiran empayar Langkasuka. Hiasan pada sangkar merbuk dibuat agar menyerlahkan penampilan sesebuah sangkar burung sama ada ketika pertandingan seni suara burung merbuk atau untuk di kediaman sendiri.

Sangkar burung merbuk juga menjadi lambang status si pemiliknya, ia juga menjadi buruan dan impian para peminat seni kraftangan Nusantara, pengumpul barangan antik, bahan koleksi di restoran & muzium. Sesetengah sangkar burung merbuk hanya dibuat 1 atau dalam jumlah yang terhad dan unik yang mana ia mungkin tidak akan dapat dilihat lagi keindahan hasil seninya jika ia hilang ditelan zaman !!

Beberapa komponen pada sesebuah sangkar diperbuat dari besi yang diukir dengan pelbagai motif dan disepuh menggunakan tangan dan disadur berwarna keemasan atau tembaga atau perak bertatahkan batu perhiasan/permata. Penyangkut sangkar terdiri dari motif fauna seperti gajah, ayam jantan, burung merak, naga, ular, kera bersama motif flora.

Ada juga penyangkut yang diperbuat dari kayu berkualiti yang diukir tebuk timbul bersama motif flora. Dibawah bahagian penyangkut dipanggil “labu” yang diperbuat dari kayu, tanduk kerbau betina, gading gajah, plastik resin. Kayu yang dilarik mempunyai ukiran motif flora atau ditampal sejenis cengkerang laut yang dipanggil “MUK”. Terdapat juga labu yang diperbuat dari gading gajah yang diukir tetapi sangat jarang dijumpai dan cukup mahal.

6 / 100 SEO Score