December 4, 2024

Makanan & Ubat

Burung merbuk / burung ketitir dan burung tekukur merupakan spesis burung pemakan bijian, di alam liar ia memakan bijian sebagai diet hariannya seperti padi, sekoi, kambu, sambau, biji sawi, pasir halus dan serangga kecil. Untuk menjaga kualiti suara burung, kerajinan berkokok dan untuk kesihatan sepanjang masa, makanan yang sesuai perlu diberikan kepada burung di dalam sangkar atau di dalam reban pembiakan. 

Makanan ini biasanya ada di jual di kebanyakkan kedai burung atau di mana-mana laman web E-dagang. Makanan yang dibeli seeloknya dibasuh dengan air bersih dan ditapis terlebih dahulu untuk membuang debu / kotoran asing, kemudiannya digaul bersama madu lebah dan telur ayam kampung dan kemudian dijemur di bawah pancaran matahari sehingga betul-betul kering sebelum disimpan / diberi makan kepada burung anda.

Berikut merupakan makanan yang disyorkan diberi kepada burung merbuk / tekukur secara harian dan berkala (setiap minggu)

1. padi burung (secara harian). 

– Padi ini bersaiz lebih kecil dan pendek berbanding padi yang dibuat beras untuk makanan manusia, banyak ditanam di Thailand.

2. sekoi merah / red millet (secara harian). 

– Merupakan bijian dari sejenis rumput dari keluarga Panicoideae. Ditanam di Nepal, India, Filipina, Indonesia, Vietnam, Thailand, Barat Afrika. 

3. sekoi campur / white millet (secara harian)

– Merupakan bijian dari sejenis rumput dari keluarga Panicoideae. Ditanam di Afrika Barat, India.

4. kambu / chia seed (secara harian untuk burung suara kelas A dan B sahaja). 

– Ia menyerupai seakan biji sawi dan cukup halus. Dituai dari pokok berbunga Salvia hispanica yang tumbuh di selatan Mexico, Guatemala, Bolivia, Ecuador. Dikatakan bijian kambu ini agak panas dan hanya sesuai diberi makan secara harian kepada burung suara besar sahaja (A & B). 

5. Pulut hitam / black rice (secara harian). 

– Dihasilkan dari spesis pohon padi Oryza sativa. Biasanya dijadikan bubur atau kuih di negara Asia. 

6. kacang hijau / mung bean (secara mingguan). 

– Sejenis bijian yang dihasilkan dari pohon spesis Fabaceae. Kacang hijau direndam (selama 1 jam) di dalam air bertapis tanpa klorin, disuap sebiji demi sebiji sebanyak 7 – 10 biji. Pastikan anda mengurut saluran pernafasan burung secara perlahan-lahan selepas disuap untuk mengelakkan ia tersangkut pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan kematian. Ia menggemukkan burung dan menjadikan burung rajin berkokok serta sihat.

7. tulang sotong katak (secara harian).

– Tulang sotong katak / cuttlefishes dari spesis Sepiida. Biasanya boleh dijumpai terdapat di persisiran pantai di seluruh Malaysia atau dijual di kedai perubatan cina dan juga kedai burung. Diletak / diikat di dalam sangkar burung atau dikikis tulang ini sehingga menghasilkan serbuk dan diletak di dalam bekas khas di dalam sangkar. Ia sebagai sumber kalsium untuk menguatkan tulang dan paruh burung. 

8. madu lebah (secara mingguan)

– Madu lebah asli yang disuapkan dengan kuantiti 2 – 3 titis kepada burung menggunakan picagari. Madu lebah bersifat panas jadi elakkan memberi dalam kuantiti berlebihan yang boleh menyebabkan kematian / kehilangan suara.

9. Air vitamin (secara harian).

– Cecair berwarna hijau dari campuran ginseng dan tumbuhan herba lain. Ia dicampur bersama air minuman burung menjadikan burung rajin berkokok serta sihat.

10. Jamu / makjun burung (secara mingguan)

– Merupakan ubat / makjun yang diperbuat dari campuran isi ikan haruan, madu lebah, telur kerengga dan beberapa ramuan khas. Digunakan oleh kebanyakkan penternak burung merbuk/tekukur di Thailand. Disuapkan kepada burung 3 – 5 biji setiap minggu. Menjadikan burung rajin berkokok serta sihat.

11. Air minuman (secara harian)

– Air minuman yang baik perlu menggunakan air masak yang ditapis tanpa klorin (anda boleh menggunakan penapis air pelbagai jenama di pasaran), air perigi, air sungai di hutan yang bersih, air mineral. Bekas air minuman perlu sentiasa bersih tanpa kulat / kotoran.