Sumber artikel asal: https://www.hmetro.com.my/
KOTA BHARU: Hobi memikat burung merbok dan tekukur mendorong peniaga ikan menghabiskan wang beratus ringgit menempah sebatang galah khas yang digunakan untuk memikat unggas itu.
Disebabkan minatnya, Hafezul Ab Hamid, 30, berbelanja RM400 menempah alat itu daripada pembuat galah tempatan.
Menggunakan seekor burung pemikat, Hafezul akan membawa galah itu ke sekeliling kampung menaiki motosikalnya untuk mencari pokok yang sesuai bagi meletakkan galah itu.
Bapa kepada dua anak itu kebiasaannya melakukan aktiviti berkenaan pada hujung minggu bersama tiga rakan karib.
“Kami mula melakukan aktiviti memikat burung merbok dan tekukur sejak beberapa bulan lalu.
“Ramai yang kurang mengetahui cara memikat burung merbok dan tekukur menggunakan cara lama ini iaitu meletakkan seekor burung pemikat di dalam sangkar kecil di hujung galah dan kemudian meletakkan galah berkenaan di atas pokok.
“Burung pemikat akan memikat burung lain dan apabila burung ini mendekatinya, ia akan melekat pada gam yang diletakkan berhampiran sangkar berkenaan,” katanya di Kampung Raja Dewa di sini, semalam.
Hafezul yang berniaga ikan secara bergerak antara kampung berkata, mereka biasanya mendapat 10 hingga 12 burung merbok atau tekukur sehari.
“Kami melakukan aktiviti ini sebagai hobi pada hujung minggu kerana masing-masing sudah ada pekerjaan tetap.
“Selain memikat burung merbok dan tekukur, burung pemikat ini juga boleh menarik perhatian burung liar lain,” katanya.
Sementara itu, ramai kaki burung yang ditemui mengaku boleh membuat sendiri peralatan memikat burung seperti racik, jebak, bakul burung dan tali pengikat.
Walaupun peralatan itu boleh dibeli dan harganya tidak mahal, namun ramai memilih untuk membuatnya sendiri mengikut kesesuaian serta kehendak mereka.