BANGI: Seorang peminat burung merbuk menolak tawaran RM100,000 supaya menjual burung peliharaannya yang menjuarai pertandingan seni suara burung itu di Taman Tasik Cempaka, di sini, semalam.
Mohlis Sudi, 42, berkata sukar baginya meletakkan harga burung miliknya itu yang sudah 33 kali menjuarai pertandingan seni suara burung merbuk di negara ini dan di beberapa negara jiran.
“Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran supaya menjual merbuk ini, namun ditolak kerana saya sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan burung bermutu tinggi.
“Walaupun dikatakan menolak tuah dan rezeki kerana tawaran diberikan itu lumayan, saya akan terus menjaga merbuk ini serta menyertai sebanyak mana pertandingan dianjurkan,” katanya ketika ditemui BH sebentar tadi.
Mohlis yang berasal dari Madura, Indonesia dan sudah menetap di Puchong, Selangor sejak tahun 1989, berkata burung merbuk dari baka Thailand itu dibeli pada tahun 2014 daripada seorang penternak di Sungai Buloh, Selangor.
Beliau yang berkerja sebagai tukang kayu berkata, mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM5,200 untuk membeli anak burung yang ketika itu berumur lima bulan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seniman Merbuk, Normoley Othman, berkata pihaknya menerima lebih 300 penyertaan termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura dalam pertandingan yang diadakan kelmarin.
“Pertandingan ini membabitkan empat kategori utama iaitu A,B,C dan Remaja yang diadili mengikut suara dasar, suara tengah, suara halus dan anak burung. Peminatnya pula merentasi pelbagai kaum, agama, bangsa dan warganegara.
“Tawaran RM100,000 bagi merbuk yang menjuarai pertandingan ini bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya ada burung yang pernah ditawarkan lebih RM500,000 tetapi pemilik enggan menjualnya,” katanya.