Putrajaya: Suara merdu dimiliki seekor burung merbuk yang dibeli dengan harga RM35,000 milik peserta dari Kelantan berjaya menambat hati juri, sekali gus diumumkan pemenang Piala Presiden pada Pertandingan Seni Suara Merbuk (Peringkat ASEAN) 2016, di sini, semalam.
Pemilik burung, Adnan Mahmood, 62, membawa pulang piala bersama sijil penyertaan selepas burung merbuk yang diberi nama Anak Angsa diumumkan pemenang keseluruhan suara paling merdu.
Selain itu, dia yang berasal dari Tumpat, Kelantan menduduki tempat pertama pertandingan bagi Kategori B (Burung Merbuk Suara Sederhana).
Adnan berkata, dia membeli burung berkenaan dari Thailand setahun lalu serta pernah membawanya menyertai 30 pertandingan seni suara burung dan semuanya diumumkan pemenang tempat pertama.
“Bagaimanapun, kejayaan hari ini (semalam) dikatakan paling besar kerana pertandingan ini adalah antara peringkat tertinggi,” katanya di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail yang menyempurnakan perasmian pertandingan itu.
Menceritakan mengenai burung merbuk kesayangannya, Adnan berkata, dia pernah menerima tawaran sehingga RM80,000 daripada peminat burung ingin membeli Anak Angsa.
“Walaupun tawaran itu tinggi, saya tetap tidak akan menjual burung merbuk ini kerana terlalu menyayanginya.
“Kira-kira 40 tahun saya terbabit dengan hobi memelihara burung merbuk dan boleh dikatakan Anak Angsa ini antara burung paling mahal saya ada,” katanya yang mempunyai 10 burung merbuk.
Dalam pada itu, Adnan berkata, nama Anak Angsa diberikan kepada burung merbuk itu kerana cara haiwan itu mengeluarkan suara seperti gaya angsa.
Mengenai rutin penjagaan burung merbuk itu, dia berkata, ia tidak sukar kerana hanya memberi makan padi serta memastikan bekas air pada sangkar diisi.
“Bagi memastikan keselesaannya, saya membeli sangkar berharga RM2,000 untuknya,” katanya.
Pertandingan Seni Suara Merbuk (Peringkat ASEAN) 2016 turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menerima 1,237 penyertaan burung merbuk menjadikan ia bilangan terbanyak dalam acara seumpamanya di Malaysia.
Penyertaan itu terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.